Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan meminda Akta Hak Milik Strata 1985 dan Akta Bangunan dan Harta Bersama 2007 bagi melindungi kepentingan pembeli harta.
Menteri berkenaan, Datuk Chor Chee Heung, berkata pindaan akta perumahan sedia ada itu bertujuan mewajibkan pemaju membuat permohonan bagi mendapatkan hak milik strata bangunan dalam tempoh enam bulan selepas surat perjanjian jual beli (SNP) ditandatangani.
"Pindaan itu juga membolehkan sijil terbabit (hak milik strata) dapat diperolehi serentak ketika pembeli rumah menerima semua dokumen pembelian yang berkaitan termasuk sijil layak menduduki (CFO).
"Buat masa ini, pemaju memang tidak wajib membuat permohonan mendapatkan hak milik strata bangunan selepas menandatangani perjanjian SNP, kini selepas CFO dikeluarkan baru mereka memohon," katanya ketika menjawab soalan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai tindakan ke atas kerajaan negeri khususnya di bawah pentadbiran pembangkang yang menyebabkan rumah mesra rakyat atau rumah untuk golongan kurang berkemampuan terbengkalai, Chor berkata pihaknya akan mengambil tindakan susulan sekiranya menerima aduan.
"Setakat ini kementerian tidak menerima laporan skim perumahan rakyat di Pulau Pinang atau Kelantan yang terbengkalai dan sekiranya mereka mengemukakan aduan baru kita boleh siasat mengapa kerajaan atau majlis tempatan di negeri berkenaan tidak mengeluarkan CFO.
"Kalau ia berpunca daripada masalah politik, ia memang tidak boleh diterima langsung, tetapi kalau ada masalah lain mungkin kita akan cuba selesaikannya secepat mungkin," katanya.
- Bernama
13 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan