Sabtu, Disember 24, 2011

Sampah

Jika dulu, tong sampah hanya diletak begitu saja untuk kegunaan orang ramai sebagai tempat membuang segala yang tidak perlu, kini tong sampah sudah diberi nyawa. Anda boleh melihat kebanyakan tong sampah kini ditulis ‘Gunakanlah Saya’ seolah-olah tong sampah sudah hidup dan bercakap serta merayu kita menggunakannya. Tidak mustahil suatu masa nanti kita terpaksa mencipta tong sampah bergerak atau mengikut sahaja ke mana kita berjalan supaya kita membuang sampah ke dalamnya.

Di taman, tong sampah akan bergerak mengikut ke mana sahaja orang bergerak supaya sampah yang sebelum ini dicampak di merata-rata tempat, dibuang ke dalamnya.
Mungkin di tepi-tepi sungai juga tidak cukup dengan papan tanda terpacak di suatu tempat, tetapi disediakan papan tanda bergerak supaya orang patuh dan tidak membuang apa-apa yang tidak patut ke sungai. Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mendedahkan bahawa jika sampah dikumpulkan dalam masa lima hari, ia dapat menutup seluruh Perlis.

Pertambahan jumlah penduduk menjadikan sampah juga bertambah. Jika sampah tidak dikendalikan dengan betul, memang satu Malaysia pun boleh tertutup. Di Malaysia, sejak tahun 1994, dianggarkan pertumbuhan populasi sebanyak 2.4 peratus iaitu 600,000 orang setiap tahun.

Ini pasti membawa kepada masalah pertambahan sampah manakala jangka hayat tempat pelupusan sampah semakin kurang. Difahamkan, 113 daripada 289 tapak pelupusan sampah di negara ini tidak lagi beroperasi dan menunggu masa untuk ditutup. Malah, ada tempat pembuangan sampah yang sudah sepatutnya ditutup, tetapi masih menerima sampah kerana masalah untuk mencari tempat baru.

Kerjasama pelbagai pihak sangat penting untuk membendung masalah sampah. Pertama, kita harus mengurangkan penggunaan benda yang akhirnya menjadi sampah dan kedua, apabila benda itu terpaksa juga menjadi sampah, pengurusan terhadapnya mestilah bijak supaya tidak mendatangkan masalah kepada kita.

Sumber: Internet

Tiada ulasan: