Ahad, Mac 18, 2018

Terima kasih MBSA

Pihak Perpustakaan Mini Seri Nuang merakamkan ribuan terima kasih serta penghargaan kepada kerajaan negeri Selangor, Bahagian Pembangunan Komuniti MBSA, Perpustakaan Anggerik Vanilla dan khasnya MPP Zon 4 di atas sokongan serta sumbangan dalam merealisasikan usaha Komuniti Seri Nuang dalam usaha menambahbaik kemudahan perpustakaan dan seterusnya menjadikan ianya sebagai hab pendidikan rakyat setempat khasnya dan penduduk sekitaran amnya di Bukit Bandaraya, Seksyen U11, Shah Alam. Pada 17 Mac 2018, pihak Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA telah menyempurnakan penyerahan dua buah komputer, dua buat meja komputer, tiga buah rak buku serta dua buah kerusi bulat kepada Perpustakaan Mini Seri Nuang. 

Ini merupakan kerjasama yang telah dibuat antara MBSA dan Komuniti Seri Nuang yang mana usaha mewujudkan sebuah perpustakaan telah bermula semenjak 2014 apabila Seri Nuang dipilih oleh pihak MPP Zon 4 (Seksyen 8 dan U11) untuk bertanding di dalam Pertandingan Zon Bersih Mini (Mini Zee-Bee) antara zon-zon di Shah Alam. Hasrat dan sokongan padu daripada MPP Zon 4 menjadikan Seksyen U11 sebagai hab pendidikan rakyat telah membuahkan hasil dengan wujudnya perpustakaan mini ini. 

Perpustakaan mini adalah di bawah naungan dan seliaan Surau Al-Ikhwan di mana ianya seiring dengan misi surau untuk menyampaikan ilmu dan maklumat kepada komuniti di samping mengadakan siri-siri kuliah agama dan kuliah bersiri bersama penceramah jemputan. 

Para penduduk juga telah menyumbang sejumlah buku yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk sendiri. Buku-buku ini adalah merangkumi subjek umum, kanak-kanak, agama, motivasi diri dan lain-lain. Antara program yang telah dijalankan di perpustakaan mini ialah:

a. Pembentangan akhir Pertandingan Zon Bersih Mini (Mini Zee-Bee)
b. Fun Learning English bersama Uncle K 
c. Program Kempen Kesihatan bersama Fakulti Perubatan, UiTM
d. Demo membuat kek Brownies dan Carrot anjuran MPP Zon 4 
e. Program lawatan ke Perpustakaan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning 
f. Misi pecutan akhir PT3 dan SPM bersama Aunty Dayah
g. Program 'Storytelling' bersama pelajar taska-taska Bukit Bandaraya, Seksyen U11

Sekiranya ada mana-mana organisasi yang ingin menjalankan program bersama komuniti di Seri Nuang, bolehlah berhubung melalui email: serinuang@gmail.com / an9949@gmail.com ataupun melalui telefon di talian 018-213 8370 / 012-614 6504
Tenaga kerja PAV sedang meyiapkan kerja-kerja pemasangan komputer
Wakil Perpustakaan Anggerik Vanilla, En. Jazlan bersalaman dengan En. Norazlan dari Seri Nuang sambil diperhatikan oleh En. Adnan (Seri Nuang)

Tiada ulasan: