Rabu, Mei 20, 2009

Strata Title

Geran Subsidiari atau Strata Title

Apakah yang dimaksudkan Geran Subsidiari ?
Bangunan-bangunan bertingkat yang telah mematuhi syarat-syarat berikut boleh dipecah/dibahagikan kepada beberapa petak dan geran-geran berasingan boleh dikeluarkan kepada setiap petak. Geran-geran yang diberikan kepada tiap-tiap petak di sesuatu bangunan bertingkat dinamakan Geran Subsidiari. Geran subsidiari dikenali juga dengan nama Geran Strata.

Syarat-syarat bagi pecah-bahagi bangunan kepada geran-geran subsidiari:-
  • Bangunan berkenaan mestilah terletak di atas tanah bergeran.
    Bangunan berkenaan mestilah mempunyai sekurang-kurangnya dua tingkat dari paras tanah dan juga mempunyai keluasan minima bahagian luar (superficial) seperti yang ditetapkan oleh Pengarah Tanah dan Ukur.
  • Geran subsidiari akan diberikan hanya bagi bahagian-bahagian di sebuah bangunan yang mana terletak di dalam sempadan geran tanah yang berkenaan. Perakuan oleh Juruukur berlesen menyatakan bahawa bangunan yang akan dipecah-bahagi terletak di dalam sempadan geran tanah.
  • Sempadan luar petak-petak mestilah dibina dengan bahan-bahan kekal (Permanent materials).
  • Tiap-tiap petak mestilah ada pintu masuk berasingan yang tidak melintasi petak-petak yang lain.
  • Tiap-tiap petak mestilah mempunyai kemudahan perhubungan dalam yang tidak melintasi kawasan guna sama.
  • Semua cukai tanah bagi geran itu perlu dijelaskan.
  • Pecah-bahagi tidak melanggar sebarang undang-undang bertulis.
  • Cadangan pecah-bahagi tidak dilarang oleh sebab-sebab pembatasan ke atas hakmilik.
  • Pemegang cagaran geran tanah dan/atau pemilik geran tanah itu telah bersetuju dengan bertulis untuk pecah-bahagi bangunan.

Apakah Faedah Geran Subsidiari ?

  • Geran-geran subsidiari membolehkan pemilik-pemilik petak memiliki petak-petak dalam bangunan tersebut secara persendirian dan berasingan. Pemilik geran subsidiari boleh menjual petak-petak yang dimiliki olehnya, memberi petak-petaknya kepada saudaranya ataupun mewariskan petak-petaknya kepada saudara maranya. Semua ini tanpa persetujuan atau pengetahuan pemilik-pemilik petak-petak lain di bangunan bertingkat yang sama. Geran subsidiari juga boleh digunakan sebagai cagaran untuk meminjam wang dari institusi-institusi kewangan tanpa mendapatkan kebenaran atau persetujuan dari pemilik-pemilik petak lain.
  • Satu lagi faedahnya ialah pemilik geran subsidiari boleh menggunakan tempat guna sama (seperti tangga, lif dan halaman bangunan) yang terletak dibawah jagaan korporasi pengurusan.

Korporasi Pengurusan

  • Mengikut undang-undang, bangunan-bangunan yang hendak dipecah-bahagi kepada geran-geran subsidiari mestilah menubuhkan korporasi pengurusan. Semua pemilik-pemilik petak-petak akan menjadi ahli dalam korporasi pengurusan dan semua kawasan guna sama (semua kawasan yang tidak termasuk petak-petak individu) akan menjadi harta dan tanggungjawab korporasi pengurusan.
  • Korporasi pengurusan memilih satu majlis yang mana akan menjadi tanggungjawab bagi:-
    Geran tanah asal.
  • Menguruskan pembayaran cukai tanah kepada kerajaan apabila ianya hendak dibayar.
  • Memelihara bahagian-bahagian guna sama dan halaman-halaman bangunan.
  • Memungut dari pemilik geran subsidiari sebarang wang yang telah dibelanjakan untuk petak kepunyaan pemilik tersebut.
  • Memungut dari tiap-tiap pemilik geran subsidiari wang yang perlu untuk membaiki, memelihara, membayar cukai, premium insuran dan lain-lain. Jumlah yang dikenakan kepada tiap-tiap pemilik geran subsidiari adalah seimbang dengan saham-saham yang dimiliki oleh tiap-tiap pemilik.

Peranan Pihak Berkuasa Tempatan

  • Adalah lebih mudah bagi Pihak Berkuasa Tempatan untuk berurusan dengan korporasi pengurusan berkenaan dalam memastikan kebersihan serta kawasan guna sama terjaga daripada membiarkannya diurus secara individu yang mana adalah cenderung kepada pengabaian.

Cara-cara Memohon Geran Subsidiari

  • Pemilik-pemilik bangunan bertingkat yang berhajat untuk memecah-bahagikan bangunan mereka kepada petak-petak untuk tujuan mendapatkan geran-geran subsidiari hendaklah mengemukakan permohonan kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) di daerah yang berkenaan dengan menggunakan borang A (LSF 1064) bersama-sama dengan cadangan pelan pecah-bahagi dan bayaran yang tertentu. Pelan cadangan pecah-bahagi boleh disediakan oleh Juruukur Berlesen atas permintaan pihak pemilik tanah.
  • Selepas pemeriksaan awal, Penolong Pemungut Hasil Tanah akan mengirimkan dokumen-dokumen kepada Pengarah Tanah dan Ukur. Pengarah Tanah dan Ukur setelah memeriksa dan mendapatinya teratur akan meluluskan permohonan dan memaklumkan pemohon dengan serta merta. Setelah diluluskan, pemilik boleh melantik seorang Juruukur Berlesen untuk mengukur dan melukis pelan-pelan yang perlu.
  • Selepas pengukuran, Juruukur Berlesen akan melukis pelan-pelan yang perlu dan mengemukakannya kepada Pengarah Tanah dan Ukur, yang akan mengurus untuk pemeriksaan, kelulusan pelan-pelan, penyediaan, pendaftaran dan pengeluaran geran-geran subsidiari kepada pemilik berkenaan.
  • Source:
    http://www.scribd.com/doc/9756360/Pengenalan-Akta-Hakmilik-Strata-1985

Tiada ulasan: