Rabu, September 23, 2026

Akaun tinggal RM33, bekas CEO bangkit jual nasi lemak

 

Foto ihsan Harian Metro 

Harian Metro – 23 Sept 2026

Shah Alam: "Mulanya memang ada rasa malu nak berdepan adik-beradik, saudara-mara dan kakitangan. Tapi, mengenangkan saya pun datang daripada jualan langsung, perasaan malu itu hilang terutama bila ramai kawan dan pemilik perniagaan lain datang beli tanda sokongan."

Itu kata Ade Azhar Ismail atau Ade yang hampir 16 tahun bergelar usahawan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengedar dengan pendapatan mencecah lima angka, namun kini menjual nasi lemak di tepi jalan. Menceritakan kisahnya, Ade berkata, dia mula menjual nasi lemak secara jualan but kereta sejak lebih dua bulan lalu dan mengambil langkah itu selepas syarikat beroperasi dalam defisit akibat masalah kewangan yang dihadapi sejak pertengahan tahun lalu.

Sehingga satu tahap, wang dalam akaun bank simpanannya berbaki RM33 dan titik terendah itu yang menjadi asbab dia keluar daripada zon selesa dengan kembali berniaga di jalanan seperti ketika fasa awal menceburi dunia perniagaan.

"Saya tak pernah bekerja makan gaji kerana sudah berniaga sendiri secara jualan langsung dengan menjual mainan. Sejak 2009, saya bergelar CEO syarikat sendiri yang menjadi pengedar pewangi udara, buku cerita, buku kanak-kanak, bacaan ilmiah dan sirah Nabi. Saya pernah ada 60 kakitangan sebelum ini, namun hanya 14 yang masih setia kerana yang lain kebanyakannya Gen Z berhenti kerana tidak berminat lagi dalam bidang jualan langsung.

"Ia menyebabkan saya kehilangan pasukan jualan dan ada rakan kongsi yang tidak lagi bersama, jadi ia memberi kesan kepada syarikat. Sekarang, syarikat dan kakitangan masih ada, tapi saya ambil keputusan tidak mengambil gaji sebaliknya keluar berniaga dengan menjadikan jualan nasi lemak sebagai modul perniagaan yang baharu. Hasil jualan itu yang menjadi pendapatan saya dan selebihnya untuk syarikat," katanya ketika ditemui Harian Metro di tapak jualan, dekat Seksyen 9, di sini.

Menurut Ade, keluarga termasuk isteri tidak tahu kepayahan dilaluinya kerana dia enggan bercerita dan mereka hanya tahu pada hari ke-15. Bapa seorang anak itu berkata, isterinya tidak tahu-menahu kerana dia tidak menyediakan nasi lemak berkenaan sebaliknya mengambil bekalan daripada saudara jauh. Menurut Ade, dia menjual nasi lemak kerana nampak ada peluang dan tidak sangka percubaannya berhasil terutama selepas videonya tular di media sosial.

"Hari pertama saya bawa 30 bungkus dan rasa patah semangat dan macam loser juga waktu nak mulakan pada awalnya. Tapi, bila orang datang beli jadi semangat dan bersyukur kerana nasi lemak habis terjual pada hari pertama.

"Sejak itu, saya teruskan dan keuntungan bulan pertama saja mencecah RM9,000. Jadi, saya teruskan dan pada hari ke-53, saya mula merekrut pekerja sehingga dapat buka jualan but kereta di lima lagi kawasan. Sekarang, saya dan kakitangan berniaga pada sebelah pagi sampai malam dengan membawa sehingga 1,200 bungkus nasi lemak sehari.

"Waktu jualan ada dua syif iaitu bermula jam 8.30 pagi dan yang kedua daripada jam 5 petang hingga jualan habis," katanya.

Ade berkata, sebagai peniaga jalanan, dia tidak dapat lari daripada cabaran antaranya perubahan cuaca selain keperluan memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Biasalah bila berniaga di tempat terbuka, kena bersedia kerana ada hari hujan cuma saya bersyukur kerana sejak hari pertama sampai hari ke-81 hari ini, jualan tak pernah tak habis. Memang penat, tapi seronok dapat berjumpa pelanggan kerana ada yang datang dari jauh.

"Jadi, bagi yang senasib dengan saya, buang rasa malu dan ego... cari jalan keluar daripada masalah. Percayalah, rezeki Allah SWT itu luas dan mulakan dengan pengalaman serta apa yang kita ada. Jangan takut untuk mulakan dan Insya-Allah, kita dapat bangkit dan bina semula apa yang kita pernah usahakan dulu walaupun daripada bawah," katanya yang menganggap ujian dihadapi sebagai teguran Ilahi untuk memperbaiki kesilapan lalu.

Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan: