Khamis, Ogos 01, 2013

Hanya Perlu 50% Kebenaran Untuk JMB Tukar Meter Pukal



Media Selangorku – 1 Ogos 2013
SHAH ALAM: Badan Pengurusan Bersama (JMB) di setiap pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal kini hanya memerlukan 50 peratus kebenaran pemilik bagi migrasi dari meter pukal kepada meter individu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan ini diharap dapat memudahkan proses migrasi yang akan memastikan penduduk pangsapuri yang tidak mendapat air percuma melalui meter individu atau Program Lapor Dan Dapat menikmati 20 meter padu air percuma.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 6 Jun 2013 lalu mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) agar meluluskan peratus kebenaran pemilik kepada 50 peratus.

“Mesyuarat tersebut dipengerusikan YAB Menteri Besar Selangor dan turut dihadiri oleh wakil-wakil Syabas yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal, Ir.V.Subramaniam,” katanya.
Sebelum ini, Syabas menetapkan kebenaran 100 peratus perlu diperolehi bagi menukar meter berkenaan. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri menerima aduan bahawa masih terdapat pangsapuri yang tidak dapat melakukan migrasi walaupun mendapat kebenaran melebihi 50 peratus.

Justeru, JMB dikehendaki menghubungi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) di talian 03-5510 2122 agar migrasi dapat dilakukan.

Sehingga kini, terdapat 30 kawasan yang mendapat kebenaran 50 peratus dari unit-unit yang didiami tetapi belum mendapat kelulusan Syabas untuk migrasi.

“Kerajaan Negeri melalui LPHS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas, Jawatankuasa Permai, untuk mengambil langkah-langkag untuk memastikan proses migrasi dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya lagi.

Sumber: www.selangorku.com

Tiada ulasan: