SEBAHAGIAN PETIKAN MENGIKUT AKTA 663, Bahagian VII, DEPOSIT
& MENDAPATKAN CAJ:
Mendapatkan caj oleh Badan
Pengurusan Bersama (JMB)
32.
(1) Jika caj
penyenggaraan menjadi boleh didapatkan oleh Badan daripada seseorang pembeli
menurut kuasa seksyen 23, Badan boleh menyampaikan kepada pembeli itu suatu
notis bertulis yang meminta pembayaran jumlah wang yang kena dibayar dalam
tempoh, yang tidak boleh kurang daripada empat belas hari dari tarikh
penyampaian notis itu, sebagaimana yang dinyatakan dalam notis itu.
(2)
Jika pada akhir tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah subseksyen (1),
jumlah wang atau sebahagian daripada jumlah wang itu masih belum dibayar, Badan
boleh menyampaikan kepada pembeli itu notis bertulis selanjutnya yang menuntut
pembayaran jumlah wang yang kena dibayar itu dalam masa empat belas hari dari
tarikh penyampaian notis itu; dan jika selepas tamat tempoh tersebut, jumlah
wang yang kena dibayar masih belum dibayar, Badan itu boleh memulakan prosiding
dalam mana-mana mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa bagi mendapatkan
jumlah wang tersebut atau, sebagai tambahan atau sebagai alternatif untuk
mendapatkannya di bawah seksyen ini, mengambil jalan keluar dengan
mendapatkannya di bawah seksyen 33.
(3)
Jika seseorang ejen pengurusan telah dilantik oleh Pesuruhjaya di bawah seksyen
25 untuk menyenggarakan dan menguruskan sesuatu kawasan pemajuan, suatu notis
yang dihantar oleh ejen pengurusan itu hendaklah disifatkan telah dihantar oleh
pemaju atau Badan.
Mendapatkan
tunggakan caj
33.
(1) Jika amaun caj
yang kena dibayar tertunggak selama enam bulan, Pesuruhjaya boleh, atas
permintaan pemaju atau Badan, mengeluarkan suatu waran penahanan dalam Borang B
Jadual Kedua yang membenarkan penahanan apa-apa harta alih kepunyaan pembeli
yang ditemui di dalam petak atau di tempat lain di dalam kawasan pihak berkuasa
tempatan.
(2)
Tiada waran penahanan boleh dikeluarkan oleh Pesuruhjaya melainkan jika
Pesuruhjaya telah menyampaikan suatu notis dalam Borang A Jadual Kedua kepada
pembeli atau mana-mana seorang daripada pembeli petak itu, jika lebih daripada
satu, yang meminta pembeli itu membayar tunggakan itu dalam masa empat belas
hari dari penyerahan melalui pos atau penghantaran.
(3)
Waran itu hendaklah dilaksanakan oleh seorang pegawai daripada pejabat
Pesuruhjaya yang hendaklah membuat inventori harta yang ditahan itu dan pada
masa yang sama memberikan notis dalam Borang C Jadual Kedua kepada orang yang
pada masa penahanan itu ternyata merupakan orang yang memiliki harta itu.
(4)
Pegawai itu boleh, pada waktu siang, memecah masuk secara paksa ke dalam
mana-mana petak atau bangunan atau mana-mana bahagian petak atau bangunan itu
bagi maksud melaksanakan penahanan itu.
(5)
Melainkan jika tunggakan dan caj pungutan dibayar dalam masa tujuh hari dari
penahanan harta itu, harta yang ditahan itu hendaklah dijual melalui lelongan
awam.
(6)
Jika apa-apa amaun didapatkan oleh Pesuruhjaya di bawah seksyen ini,
Pesuruhjaya boleh memotong daripada amaun itu caj pungutan itu bagi apa-apa
amaun yang ditetapkan oleh Menteri, dengan persetujuan Pihak Berkuasa Negeri.
(7)
Apa-apa amaun yang didapatkan oleh Pesuruhjaya, selepas pemotongan caj pungutan
itu, hendaklah didepositkan ke dalam Kumpulan Wang Penyenggaraan Bangunan
secepat yang dapat dilaksanakan.
(8)
Apa-apa lebihan, selepas pemotongan apa-apa amaun oleh Pesuruhjaya di bawah
subseksyen (6), hendaklah dibayar kepada orang yang, pada masa penahanan itu
adalah atau ternyata memiliki harta itu.
Kegagalan
atau keengganan untuk membayar caj
34.
Mana-mana orang yang,
tanpa apa-apa sebab yang munasabah, gagal atau enggan membayar caj
penyenggaraan dan pengurusan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila
disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit dan juga boleh didenda
selanjutnya tidak melebihi lima puluh ringgit bagi tiap-tiap hari yang
kesalahan itu berterusan selepas sabitan.