Aahhh..mengendalikan najis kucing, semua orang tidak suka berhadapan dengannya. Setakat ini saya tidak pernah menjumpai sesiapa yang gembira mengendalikannya, walaupun seorang doktor. Bezanya adalah, seorang doktor telah dilatih untuk mendepani perkara-perkara yang dirasakan jijik oleh orang lain demi kebaikan kucing dan tuannya. Artikel di bawah adalah himpunan masalah-masalah yang berkaitan dengan pembuangan najis, kotak najis serta latihan-latihan yang berkaitan. Samada kita memelihara kucing secara indoor atau outdoor, kita mesti menyediakan kotak najis atau litter box untuknya, serta melatihnya untuk membuang di situ, dan bukannya di tempat lain.
Ya, walaupun kucing kita dilepaskan ke luar merayau-rayau dan hanya pulang ketika makan, kotak najis itu perlu disediakan. Kita mungkin merasakan laman rumah kita adalah bersih dan nyaman, tetapi rumah jiran kita akan terganggu dengan suasana nyaman yang di bina disebabkan oleh kucing kita memberikan hadiah beberapa ketul najis bersebelahan kasutnya.
Saya pernah mendengar dalam satu kuliah agama, bahawa dalam Islam, ulama' telah menetapkan jika kita membela kucing atau binatang peliharaan lain maka kita mesti menyediakan tempat untuknya membuang najis. Jika kucing itu membuang di kawasan rumah jiran, adalah wajib untuk kita membasuhnya.
Jika kita enggan maka jiran kita berhak untuk membawa kita bersumpah (bukan sumpah laknat ye) di hadapan Qadhi (hakim) bahawa kucing itu bukan milik kita dan pemerintah boleh merampas kucing atau binatang peliharaan itu. Saya terpegun kerana memikirkan bahawa ulama' begitu teliti dan telah lama memberikan penyelesaian terhadap masalah ini.
Rujukan:
Alam Kucing